Sunday 14 April 2013

Ukuran nisab barang curian



Para pembesarmazhab berbeza pendapat dalam hal ukuran (nisab) atau batas banyaknya barang curian agar hukuman potong tangan dapat dilaksanakan terhaddap seorang pencuri.

Mazhab Hanafi – nisab harta dalam hadd pencurian adalah satu dinar atau sepuluh dirham baik murni atau tidak atau senilai dengan salah satunya. Dikatakan juga untuk barang selain dari yang dua itu disamakan nilainya dengan nilai dirham dan jika barang tersebut adalah emas maka disyaratkan merupakan barang yang beredar dikalangan masyarakat. Adapun dalil ulama Hanafiah dalam penentuan nisab ini adalah: “Diriwayatkan dari Ibnu Abbas dan Ibnu Umi Aiman, mereka berkata: Harga perisai ketika Rasulullah s.a.w memotong tangan pencurinya adalah sepuluh dirham”.

Mazhab Maliki – nisab harta curian adalah tiga dirham murni. Maka sesiapa yang mencurinya atau mencuri barang yang senilai atau lebih dari tiga dirham murni maka dikenakan hadd. Adapun dalil ulama Malikiah sebagai berikut: “Diriwayatkan dari Nafi’ dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w memotong tangan yang mencuri perisai seharga tiga dirham”. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, imam Malik bin Anas berkata: “Uthman bin Affan memotong tangan orang yang mencuri barang seharga tiga dirham dan ini merupakan pendapat paling kuat menurutku dalam hal ini”.

Mazhab Syafi’e – nisab dalam mencuri adalah seperempat dinar atau barang-barang lain yang senilai dengannya. Ulama Syafi’eyah berdalil dalam nisab ini dengan sebuah haddis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim melalui jalan (isnad) Azzuhri dari ‘Amrah dari Siti ‘Aisah bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Pencuri dipotong tangannya jika mencuri seperempat dinar dan selebihnya”. Demikian juga dengan haddis imam Muslim yang diriwayatkan melalui Abu Bakar bin Muhammad bin ‘Amru bin Hazm dari ‘Amrah dari Siti ‘Aisah Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Tidaklah dipotong tangan pencuri kecuali jika mencuri seperempat dinar atau lebih”.

Mazhab Hanbali – Tiga dirham dan seperempat dinar keduanya merupakan nisab dalam hadd mencuri dan sesiapa yang mencuri salah satu darinya atau yang senilai dengannya maka dikenakan hadd. Pendapat ini berdasarkan haddis yang diriwayatkan Ibnu Umar dan juga Haddis Siti ‘Aisah. Disebutkan juga dalam haddis yang diriwayatkan Imam Ahmad dari Haddis ‘Aisah bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Potonglah tangan pencuri (jika mencuri) seperempat dinar dan jangan pada yang kurang daripadanya”.

1 comment: